Mula

            25/10/2022 adalah tarikh mula untuk menentukan sama ada aku dapat melanjutkan pelajaran aku ke ijazah sarjana muda atau tidak. Pada tarikh tersebut juga adalah tarikh aku berkumpul dengan rakan-rakan seperjuangan semasa diploma kerana adanya aktiviti raptai bagi konvokesyen Politeknik Muadzam Shah Pahang. Tepat sahaja jam 12 tengahari semasa kami berkumpul di dalam dewan semasa mendengar taklimat raptai, keputusan UPU mula berkeliaran di kaca telefon bimbit masing-masing dan menjadi bahan bualan pada masa itu. Masing-masing sudah tidak fokus dengan taklimat terus kerana semuanya sedang leka menyemak keputusan dan juga bertanya kepada rakan-rakan tentang nasib masing-masing. Mungkin pada saat itu, degupan jantungku bertukar daripada rasa takut kepada rasa gembira kerana aku dapat melanjutkan pelajaran ijazah sarjana muda aku di UKM.

             Aku tersenyum pada kaca telefon bimbit ku dengan keputusan yang aku perolehi akan tetapi rasa gembira itu bertukar kepada sedih kerana aku dapat tahu yang rakan-rakanku tidak ada seorang pun yang senasib denganku. Aku pada mulanya tidak sabar untuk berkongsi rasa gembira itu dengan mereka kian rasa itu semakin pudar demi menjaga hati rakan-rakanku. Aku mula rasa keputusan yang aku perolehi ini ialah suatu keajaiban dan ianya berlaku atas rezeki dan doa-doa orang sekeliling, dan bukannya atas asbab usaha aku sahaja kerana aku tidak pernah terdetik untuk layak menyambungkan pelajaran aku di universiti terkemuka ini. Pada minggu lepas aku mendapati bahawa keputusan rayuan bagi UPU jugak telah keluar dan aku sangat bersyukur kerana 2 orang rakan baikku telah berpeluang melanjutkan pelajaran di Perlis dan di Kelantan.


            Walau apa pun, aku bersyukur sangat kerana rezeki tuhan menetapkan aku serta memberi peluang aku belajar di bumi UKM ini. Aku harap aku disini dapat mengaut segala ilmu yang dilemparkan oleh pensyarah-pensyarah yang sangat bertauliah dan juga aku berharap aku dapat membuat kedua ibubapa aku bangga dengan pencapaian aku nanti.

Comments

Popular posts from this blog

MASA

Sesal

Lambat